Oleh Jesslyn Ch'ng
Amaran Kandungan: Kandungan di bawah adalah perbincangan tentang trauma yang mungkin akan memberikan tekanan kepada sesetengah individu. Jika anda perlukan sokongan, sila hubungi center@thethrive.center atau 018-9003247.
Kejadian yang tidak dijangka dan menyebabkan stres seperti kemalangan kereta yang serius, bencana alam atau kes kekejaman seperti rompakan atau serangan seksual boleh menyebabkan trauma. Ini termasuk peristiwa pelanggaran LRT Kelana Jaya yang berlaku baru-baru ini dan pandemik COVID-19 yang sedang berterusan.
Pengalaman traumatik boleh menyebabkan gejala seperti perasaan murung, kesukaran untuk fokus, perubahan selera makan dan masalah gangguan tidur. Pengalaman ini juga menyebabkan pikiran terganggu seperti "Mengapa ini terjadi pada saya?" dan kewaspadaan yang selalu tinggi, di mana mereka yang mengalami trauma selalu berjaga-jaga kerana takut kejadian traumatik yang sama akan berulang.
Gejala-gejala yang dinyatakan di atas merupakan reaksi dan pemikiran yang biasa terjadi selepas seseorang melalui suatu pengalaman yang traumatik. Kita semua memerlukan masa untuk proses kejadian yang berlaku kepada kita. Walau bagaimanapun, jika gejala ini berlanjutan lebih dari satu bulan, anda mungkin menunjukkan gejala Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD).
PTSD dikenali dan didiagnosis untuk pertama kalinya pada Perang Dunia I, di mana kebanyakkan askar-askar melaporkan gejala sakit kepala, pening kepala, amnesia atau kehilangan ingatan, dan lebih sensitif terhadap bunyi walaupun perang telah berakhir. Namun, pegawai perubatan pada masa itu menilai gejala ini sebagai sebahagian daripada kesihatan fizikal askar-askar tanpa mempertimbangkan kesihatan mental mereka. Pada masa itu, doktor-doktor mempercayai bahawa gejala ini adalah kesan daripada letupan cangkang artileri, di mana gas beracun dan getaran dari letupan ini adalah penyebab gejala tersebut. Oleh itu, mereka menggunakan istilah "Shell Shock " untuk menggambarkan gejala ini.
Tidak lama kemudian, pegawai perubatan mendapati bahawa askar-askar yang tidak mengalami letupan bom juga melaporkan gejala yang sama. Oleh itu, menghubungkan letupan bom sebagai penyebab gejala-gejala ini adalah tidak tepat.
Mujurlah semasa Perang Dunia II, pegawai perubatan mula mempercayai bahawa gejala ini berkaitan dengan tekanan psikologi askar-askar, dan bukannya masalah kesihatan fizikal. Sejak itu, gejala-gejala yang dialami oleh askar-askar ini dihubungkan dengan istilah yang kini dikenali secara meluas: PTSD.
Seseorang seharusnya mengalami salah satu pengalaman di bawah sebelum didiagnosis dengan PTSD:
Situasi yang mengancamkan nyawa (perang, kemalangan jalan raya yang serius, penculikan)
Kejadian traumatik yang menyebabkan kecederaan fizikal atau mental
Keganasan seksual
Selain itu, mereka yang mempunyai sejarah penyakit kronik atau yang hidup dalam persekitaran yang tertekan seperti mangsa keganasan rumah tangga dan buli juga boleh dianggap sebagai insiden yang traumatik. Pekerjaan yang memerlukan pendedahan yang tinggi terhadap pengalaman traumatik seperti pegawai perubatan, askar-askar dan pegawai polis yang terdedah kepada kematian, kecederaan and keganasan juga mempunyai risiko PTSD yang tinggi.
Pengalaman ini tidak semestinya memerlukan pengalaman sendiri. Walaupun hanya menyaksikan sesuatu pengalaman yang traumatik atau mengetahui bahawa saudara atau rakan yang rapat terdedah kepada kejadian traumatik juga akan meningkatkan risiko kita terhadap PTSD.
Sejak Mac 2020, Malaysia giat memerangi wabak COVID-19. Pada pertengahan April 2021, apabila rakyat Malaysia percaya bahawa keadaan wabak COVID-19 sedang bertambah baik, jumlah kes positif harian wabak COVID-19 meningkat lagi. Pada 29 Mei 2021, negara kita mencatatkan jumlah kes positif harian yang tertinggi, iaitu sebanyak 9020 kes. Apabila Malaysia terus untuk melaporkan peningkatan jumlah kes kematian dan kes positif COVID-19, pegawai perubatan dan barisan hadapan terus terdedah kepada trauma wabak COVID-19 ini.
Menurut data dari sebuah penyelidikan yang dijalankan sehingga 30 Jun 2020, 6.3% pegawai perubatan yang merawat pesakit wabak COVID-19 menunjukkan gejala PTSD. Namun, ketika penyelidikan ini dijalankan ketika jumlah kes harian tertinggi hanya pada takat ratus. Jika penyelidikan ini dijalankan semula hari ini, dapat dibayangkan bahawa kadar diagnosis PTSD di kalangan pegawai perubatan pasti lebih tinggi.
Selain daripada pegawai barisan depan, mereka yang terselamat dari wabak COVID-19, terutama mereka yang mengalami kes yang kronik, juga berisiko mengalami PTSD. Banyak pesakit kronik wabak COVID-19 yang dimasukkan ke bilik ICU terpaksa diintubasi dan memerlukan sokongan ventilator untuk terus bernafas. Ia memburukkan lagi keadaan apabila sebahagian besar pesakit yang sudah pulih melaporkan kesan sampingan seperti kesukaran bernafas dan pengurangan fokus. Situasi ini mempengaruhi kualiti kehidupan mangsa wabak COVID-19.
Oleh itu, bukan semua luka dapat dilihat, seperti trauma dari segi tekanan mental.
Gejala utama PTSD termasuk:
1.Ingatan traumatik yang terus-menerus muncul
Walaupun kejadian traumatik itu sudah berlaku, individu masih boleh teringat akan kejadian traumatik tersebut kerana kerap mengulang seolah-olahnya pengalaman tersebut kembali terjadi.
Sebagai contoh, seorang mangsa COVID-19 yang didiagnosis PTSD, akan terus mengulangi ingatan trauma dimasukkan ke bilik ICU melalui kilas balik dan mimpi buruk, seolah-olah dia mengalami saat-saat menerima rawatan berulang kali.
Mengingati semula pengalaman itu mungkin akan memberikan tekanan, menyebabkan kadar kesedaran yang lebih tinggi dan kemudian mempengaruhi kualiti kehidupan mereka.
2. Hypervigilance (Sentiasa berada dalam keadaan berwaspada tinggi)
Amygdala di dalam otak kita berfungsi seperti sistem penggera. Apabila kita terdedah kepada keadaan terancam atau tertekan, amygdala kita mengaktifkan tindak balas "fight-or-flight", yang selanjutnya mengaktifkan sistem saraf simpatetik (SNS). Sistem ini mempersiapkan tubuh kita untuk melawan ancaman (“fight”) atau melarikan diri untuk keselamatan (“flight”). Dalam keadaan ini, denyut jantung dipercepatkan dan kita akan berasa gementar.
Sebaliknya, prefrontal cortex (PFC) kita berfungsi membuat pemikiran yang rasional, ia bertindak balas terhadap situasi dengan pertimbangan yang baik. Namun, dalam keadaan yang terancam dan berbahaya, amygdala kita mengambil alih peranan PFC, di mana ia mengaktifkan tindak balas "fight-or-flight" untuk melindungi diri sendiri.
Namun, amygdala individu yang mengalami pengalaman yang traumatik sentiasa berada dalam keadaan yang terlalu sensitif (seperti sistem penggera yang terlalu sensitif yang sering berbunyi). PFC individu-individu ini juga diganggu oleh pengalaman traumatik tersebut dan kemudian menyebabkan fungsi dan pengaktifan PFC berkurang. Oleh itu, mereka tidak dapat mengenali pencetus trauma dengan berkesan untuk menangani situasi tersebut. Secara kesimpulannya, individu yang mengalami insiden traumatik mudah terkejut oleh objek, bau atau tingkah laku yang mengembalikan kenangan peristiwa traumatik, seterusnya menimbulkan kepanikan pada individu ini.
Contohnya, pada 24 Mei, Malaysia melaporkan kes pelanggaran kereta api yang terburuk dalam sejarah di laluan LRT Kelana Jaya. Kejadian ini melaporkan 47 penumpang cedera parah dan 166 lain mengalami cedera ringan. Walaupun hanya beberapa minggu sejak kejadian tersebut, para penumpang yang tercedera ini mempunyai risiko tinggi untuk mengalami trauma. Mereka mungkin ketakutan untuk menggunakan pengangkutan awam pada masa akan datang kerana takut untuk mengalaminya sekali lagi. Oleh sebab insiden ini banyak diliputi media, ia juga boleh menyebabkan trauma kepada mereka yang hanya menyaksikan insiden ini melalui berita.
Pengalaman-pengalaman ini mungkin akan memberikan impak jangka masa panjang pada gaya hidup mereka.
3. Penghindaran dan Perubahan Negatif
Sebilangan besar individu yang mengalami insiden yang traumatik mampu mengelakkan aktiviti atau tempat yang mengingatkan mereka tentang kejadian traumatik tersebut. Sebagai contoh, seorang mangsa kemalangan kereta yang serius berkemungkinan mengelakkan diri daripada memandu kereta atau kembali ke lokasi kemalangan untuk mengelakkan diri daripada ingatan-ingatan yang traumatik tersebut.
Sebahagian daripada individu yang mengalami insiden trauma juga mungkin menunjukkan gejala amnesia selektif (kehilangan ingatan secara separuhan). Disebabkan oleh ingatan kejadian yang terlalu traumatik, individu-individu ini tidak dapat mengingati aspek-aspek penting mengenai kejadian tersebut.
Sesetengah individu juga mungkin akan menjadi kebas secara emosi terhadap pengalaman mereka. Ketika individu-individu ini menceritakan atau melaporkan tentang kejadian traumatik tersebut, ia seolah-olahnya mereka tidak mengalaminya pengalaman traumatik tersebut secara peribadi, sebaliknya mereka seolah-olah menceritakan tentang satu mimpi buruk atau kejadian yang menimpa pada orang lain.
Kesimpulannya, mangsa yang terselamat daripada wabak COVID-19 bukan sahaja perlu memerhatikan kesihatan fizikal mereka selepas pemulihan, tetapi perhatian juga harus diberikan kepada kesihatan mental mereka. Kesihatan mental pegawai perubatan, barisan depan dan masyarakat yang terjejas akibat pandemik wabak COVID-19 juga harus diambil perhatian. Walaupun begitu, gejala PTSD tidak semestinya muncul terus selepas kejadian trauma. Untuk sebahagian individu, gejala PTSD hanya akan muncul beberapa bulan atau tahun selepas kejadian traumatik tersebut berakhir.
Oleh itu, sekiranya kita berjaya melawan wabak COVID-19, ini tidak bermakna kita telah memenangi pertempuran ini. Penilaian kesihatan mental seharusnya dijalankan pada pesakit yang terselamat dan pegawai barisan hadapan. Sekiranya diperlukan, sesi kaunseling juga harus ditawarkan untuk memberi penyokongan dari segi kesihatan mental.
Kesimpulan:
Selepas suatu kejadian yang traumatik, kita semua perlulah memberikan diri sendiri masa untuk memproses pengalaman tersebut. Dalam proses ini, emosi dan kesihatan fizikal kita mungkin terjejas juga. Namun, jika perubahan dari segi emosi dan kesihatan mental ini berterusan dan mempengaruhi rutin harian biasa anda, sila dapatkan bantuan daripada pakar kesihatan mental.
Meski apa pun, kesihatan mental adalah sepenting kesihatan fizikal.
Resources
Arnsten, A. F., Raskind, M. A., Taylor, F. B., & Connor, D. F. (2015). The effects of stress exposure on prefrontal cortex: Translating basic research into successful treatments for post-traumatic stress disorder. Neurobiology of stress, 1, 89-99. https://doi.org/10.1016/j.ynstr.2014.10.002
Bezdek, Kylie Garber; Telzer, Eva H. (2017). Have No Fear, the Brain is Here! How Your Brain Responds to Stress. Frontiers for Young Minds, 5(), 71–. https://doi.org/10.3389/frym.2017.00071
Bryant, Richard A. (2018). The Current Evidence for Acute Stress Disorder. Current Psychiatry Reports, 20(12), 111–. https://doi.org/10.1007/s11920-018-0976-x
Chew, N. W., Ngiam, J. N., Tan, B. Y. Q., Tham, S. M., Tan, C. Y. S., Jing, M., ... & Sharma, V. K. (2020). Asian-Pacific perspective on the psychological well-being of healthcare workers during the evolution of the COVID-19 pandemic. BJPsych open, 6(6). https://doi.org/doi:10.1192/bjo.2020.98
Crocq, M. A., & Crocq, L. (2000). From shell shock and war neurosis to posttraumatic stress disorder: a history of psychotraumatology. Dialogues in clinical neuroscience, 2(1), 47. https://doi.org/10.31887/DCNS.2000.2.1/macrocq
Hughes, K. C., & Shin, L. M. (2011). Functional neuroimaging studies of post-traumatic stress disorder. Expert review of neurotherapeutics, 11(2), 275-285. https://doi.org/10.1586/ern.10.198
Jaapar, S. Z. S., Abidin, Z. Z., & Othman, Z. (2014). Post traumatic stress disorder and its associated risk factors among trauma patients attending the orthopaedic wards and clinics in Kota Bharu, Kelantan. International Medical Journal, 21(6), 1-3. Link: https://core.ac.uk/download/pdf/219463758.pdf
Janiri, D., Carfì, A., Kotzalidis, G. D., Bernabei, R., Landi, F., Sani, G., ... & Post-Acute Care Study Group. (2021). Posttraumatic stress disorder in patients after severe COVID-19 infection. JAMA psychiatry, 78(5), 567-569. https://doi.org/10.1001/jamapsychiatry.2021.0109
Jones, E., Fear D Phil, N. T., & Wessely, S. (2007). Shell shock and mild traumatic brain injury: a historical review. American Journal of Psychiatry, 164(11), 1641-1645. https://doi.org/10.1176/appi.ajp.2007.07071180
Marek, R., Strobel, C., Bredy, T. W., & Sah, P. (2013). The amygdala and medial prefrontal cortex: partners in the fear circuit. The Journal of physiology, 591(10), 2381-2391. https:doi.org/ 10.1113/jphysiol.2012.248575
Miao, X. R., Chen, Q. B., Wei, K., Tao, K. M., & Lu, Z. J. (2018). Posttraumatic stress disorder: from diagnosis to prevention. Military Medical Research, 5(1), 1-7. https://doi.org/10.1186/s40779-018-0179-0
Comments