top of page
  • Writer's pictureThrive Well

Petua Kedua: Mari Memuji


Cuba ingat kembali bila kali terakhir anda dipuji. Apakah pujian tersebut? Apakah perasaan anda apabila anda mendapat pujian tersebut? Kadangkala, ianya lebih mudah untuk kita melihat kelemahan seseorang berbanding kekuatan mereka. Kelemahan individu yang rapat dengan kita mula menonjol apabila kita meluangkan lebih banyak masa bersama mereka; bak kata pepatah melayu, jauh bau bunga, dekat bau bangkai. Dengan ini, amat mudah untuk kita terlupa mengambil masa memuji setiap ahli keluarga. Kita tidak perlu menunggu pencapaian yang cemerlang atau kelakuan yang menyerlah untuk memberi pujian. Kelakuan harian juga boleh dipuji untuk menyemai perasaan positif dalam setiap ahli keluarga. Contohnya, anak memuji ibu kerana menyediakan masakan tengahhari yang sedap, ayah memuji anak kerana meletakkan baju kotor dalam bakul, ibu memuji ayah kerana membantu ibu menjemur baju, dan lain-lain. Ianya amat digalakkan untuk memuji sebaik sahaja tugasan diselesaikan atau kelakuan yang baik ditunjuk. Pujian juga boleh diberikan semasa makan malam bersama keluarga ataupun sebelum waktu tidur, jika terlupa. Pastikan kelakuan atau tugasan yang dipuji dinyatakan semasa memberi pujian. Ini bermaksud, lebih baik untuk berkata “terima kasih kerana membantu ayah membasuh pinggan tengahhari tadi” berbanding “terima kasih kerana bantu ayah tadi”. Selain itu, ibu bapa dan anak boleh juga mencari satu balang atau bekas untuk menyimpan kertas yang tertulis tugasan-tugasan yang sudah dilengkapkan pada hari itu. Ibu bapa dan anak boleh mengambil kertas secara rawak dan memberi pujian berdasarkan tugasan tersebut jika masih tiada pujian yang diberikan pada hari tersebut. Pentingnya pujian pada masa ini adalah untuk memastikan kita tidak hanya memberi tumpuan pada perkara-perkara negatif atau kelemahan ibu bapa atau anak. Kadangkala kita memandang rendah kesan pujian kepada individu. Ramai individu mengandai bahawa ahli keluarga sudah tahu yang kita sayangkan mereka, oleh itu pujian tidak diperlukan. Walaupun ibu bapa dan anak sedar bahawa wujudnya kasih sayang antara satu sama lain, pujian yang diluahkan dengan kata-kata boleh mewujudkan emosi yang positif. Kita perlu memastikan adanya keseimbangan diantara memberi teguran negatif dan pujian kepada ahli keluarga. Jika kita mempunyai masa untuk memberi teguran yang boleh membangkitkan emosi negatif, kita juga perlu mempunyai masa untuk memberi pujian yang boleh membangkitkan emosi positif di kalangan setiap ahli keluarga.



 

Depetik daripada: “Strengthening Families Program” (SFP) https://strengtheningfamiliesprogram.org/

Ini adalah salah satu amalan yang kami mengajar kepada keluarga dan pemuda dalam program FYSP di bawah projek CIMB.


Klik di sini untuk membaca lebih lanjut mengenai bagaimana SFP digunakan dalam acara SOLS Health yang lepas: https://www.solshealth.org/post/membina-ruang-selamat-melalui-kerjasama-komuniti

67 views0 comments
bottom of page